Rabu, 24 Julai 2013

kaki langit - 216.



























bertandang ke teratak damai mu
ku temui jejak-jejak kisah silam
suka duka dalam perkenalan
namun kini hanya kenangan
jadi bekalan harungi kehidupan.

bertandang ke teratak mu yang damai
ku baca isi hati yang rawan
tenggelam dalam perasaan
sering tersendu dalam penantian.

bertandang ke teratak mu lagi
masih damai di hati ini
membaca sebuah emosi diri
tak kala kaki langit masih lagi sepi.


b.tan.
24.07.2013.
kemayan.
12.31am.









Sabtu, 20 Julai 2013

kaki langit - 215.



























terlalu jauh kembara mu teman
mengharung gelombang merentang badai 
melepas lelah hanya di jalanan 
terlena hanya di bangkuan aspal.

terlalu jauh kembara mu teman
tanpa aku mengiringi perjalanan
semoga sejahtera dalam impian
mendakap mesra segulung harapan.

terlalu jauh kembara mu teman
di langit biru di lautan rindu
pulanglah teman pulanglah insan
terubat duka sidia kesepian.


b.tan.
20.07.2013.
kemayan.
2.28pm.


Khamis, 18 Julai 2013

kaki langit - 214.



























Tiada sehari yang berlalu
Tanpa ku mengingati Mu
Rindu pada Mu
Sentiasa mendambakan
Kasih dan sayang Mu
Semalam aku bermimpi
Dalam hujan ku berlari
Berlari mencari
Memangil-manggil nama Mu
Nama Mu yang sempurna

Kuharap dan kuberdoa
Semoga dapat bersua denganmu


Tiada kata yang dapat ku gambarkan
Perasaan yang ku alami
Cinta ku ini tiada berbelah bagi
Cinta yang suci dan abadi

Apakah aku diterima
Atau kau kan membiarkan saja
Kerana ku berdosa
Jangan biarkan ku terhina
Ku merayu pada Mu

  • rindu pada-Mu....di kaki langit.
  • rindu pada mu jua....
  • lagu Yasin...yang sedap didengar...

Selasa, 16 Julai 2013

kaki langit - 213.




























dalam dakapan senja
diri diselimuti duka
terkenang kembali dosa silam
saat ramadhan menjelang tiba
sering berlinangan airmata 
antara gembira dan duka
antara cinta dan cita-cita
antara bahagia dan derita
aku mengapai impian
buat bertakhta di sudut nurani
bersama redha Mu, Ilahi.


b.tan.
16.07.2013.
kemayan.
01.52pm.













Isnin, 15 Julai 2013

kaki langit - 212.



teman
dalam perjalanan ini
penuh onak dan ranjau
perlu kau tempuhi
bukan sedikit keringat yang tumpah
bukan tiada mata yang basah
malah emosi bagai dibaji
digergaji dan disalah erti.

teman 
dalam  perjalanan ini
usah terlalu gelabah
jika terlambat 
kita akan disondol
jika terlaju 
kita pula akan menyondol.

teman
anggaplah perjalanan ini
 suatu kembara
 buat mematang sebuah diri
usah dibiar lemas tanpa tujuan
tabahlah hadapi dugaan
cabaran ada di mana-mana
meski kau di puncak jaya
mau pun merendah rasa
hanya yang gagah jiwa dan raga
bisa melangkah mengharung tongkah
mengharung badai tanpa tergadai.

teman
mari mara menuju muka
hidup ini usah bergundah
terus ceria meski payah
asal kita maruah terjaga.


b.tan.
15.07.2013.
kemayan.
02.01pm.


Jumaat, 12 Julai 2013

kaki langit - 211.


di kaki langit 
ku lihat rembulan kesiangan
kelemasan di mamah mentari
namun tegarnya hati
tetap terpelihara jati diri.

sekian kali 
di kaki langit ini
ada aku yang setia menanti
meski pudar warnanya
rembulan adalah pujaan pungguk
yang membiar diri tersendiri
sepi di pangkal rindu.


b.tan.
12.07.2013.
kemayan.
12.26am.



* sajak pendek... rush hour nak cepat balik.....
* jom lah balik....






Rabu, 10 Julai 2013

kaki langit - 210.


langit petang ramadhan yang lalu
aku menatap cahaya nur-Mu
dalam remang warna senja
gemilang menerang di kaki langit
meski aku hanya sendiri
cuba melangkah menggapai mimpi 
bertemu al-qadar mensuci diri.

b.tan.
10.07.2013.
kemayan.
1.52pm.


* menanti dan terus menunggu... cuma aku yang kelewatan waktu.

kaki langit - 209.



























bumi ini basah lagi di pagi hari
buat menyambut ramadhan kareem yang suci
bersama barokah yang bakal meruah
melimpah di atas sejadah
seorang aku yang resah sesal tak sudah
masih lagi tetap menadah
pada Allah Yang Maha Gagah
agar aku terus berserah 
memohon rahmah juga maghfirah
di sepanjang lewatnya ibadah
menghitung butir tasbih dalam merintih 
di atas pedihnya dosa silam.

b.tan.
09.07.2013.
kemayan.
1.45pm.


* sempena ramadhan yg bakal tiba dan telah pun tiba .... hari ini hujan turun lagi membasahi pagi...
* semoga ramadhan kali ini lebih bermakna buat aku dan semua.... kawan dan sahabat aku...
















Selasa, 9 Julai 2013

kaki langit - 208.



























menatap wajah mendung di kaki langit
seorang aku menanti gerimis yang bakal menitis
buat melakar impian pada hari yang menangis.

sekian lama terpamer merah cerah
kini gundah melanda parah
seorang aku terkapar di hamis lembah.

merenung dalam kelam
adalah suatu penasaran
setelah jiwa terhempas berkecaian.


b.tan.
09.07.2013.
kemayan.
09.05am.



* sajak pendek ini pun aku terpaksa ambil masa lima hari nak siapkan. mula menulis 4 julai lalu tapi terhenti pada frasa 'adalah suatu penasaran'. langsung aku kehilangan idea bagaimana nak menghabiskannya. tapi hari ini nekad untuk menamatkannya dan inilah hasilnya.
* sekian.... semoga terus tabah dan gagah harungi cabaran hidup.

Selasa, 2 Julai 2013

kaki langit - 207.




























sinar mentari di kaki langit yang tersipu seolah menggamit aku untuk terus mengenang mu dalam menelusuri hari-hari penuh liku dan berduri buat mencari satu kepuasan diri dan mencari seri seraut wajah pujaan hati.

sinar mentari di kaki langit seakan memanggil nama mu dan aku pun terus berlari mengejar seri warna pelangi yang tersembunyi di kamar rindu mu.

sinar mentari di kaki langit adalah sinar warna secebis kasih yang masih bertakhta di hati ini dan amat sukar untuk ku kikis meski ia mekar di taman larangan.

sinar mentari di kaki langit adalah aku yang tidak malu untuk terus mengenang mu.


b.tan.
02.07.2013.
kemayan
14.05pm.


  

Isnin, 1 Julai 2013

kaki langit - 206.



berserakan warna senja di kaki langit
menemani aku yang masih di sini
duduk seketika memerhati
pada hari yang beransur pergi
meninggalkan siang dan menjemput malam
menghiasi pawana bersama bulan bintang
menghimpunkan kelkatu yang memburu rindu
meski yang hadir hanyalah ilusi
dalam mimpi yang tak bertepi
terpamer seraut wajah indah
dambaan kalbuku nan lalu
kini terpahat di lipatan memori
sebagai teman di kala kesepian.


b.tan.
01.07.2013.
kemayan.
10.35am.


* puisi ringkas.... aku sedang mengejar waktu....
* alhamdulillah.... permohonan aku untuk npqel gagal... 
* kalau tidak tak menang tangan lah aku....