Ahad, 18 Disember 2011

kaki langit - 118.


terbentang meluas
di jajaran permai
dan di bawah sinar pagi
sayu hatinya menatap
sekujur tubuh kaku
bertemankan gelita
di dasar derita.

dalam kelemasan hidup
hanya sekadar
termampu menghirup
madu yang beracun
dan akhirnya
aku
di sini terlantar sepi
di kaki langit
aku
menafsir mimpi.


b.tan.
17.01.2012.
seri buntar.
11.15pm.

kaki langit - 117.


di pagi hening di kaki mu ini
ku atur langkah longlai
buat menatap warna alam
agar bisa ku berbicara
tentang bahasa alam.

di kaki langit ini
terpamer lukisan alam
yang ku baca bersama
puisi-puisi sepi
luahan dari sekeping hati
setelah malam berlalu
dan aku masih tercari
erti rindu
dalam kamus bahasa alam.

b.tan.
18.12.2011.
seri buntar.
6.51pm.

Sabtu, 17 Disember 2011

kaki langit - 116.



di kaki langit
kita mendongak melihat mimpi
dan terlupa pada janji
untuk tidak bermimpi lagi.

di kaki langit
kita berikrar satu janji
dan melafaz kata sumpah
untuk bangun lagi
dari lembah berduri ini.

di kaki langit
kita azam pada janji
kan terbukti mimpi
menjadi satu realiti.

b.tan.
17.12.2011.
seri buntar.

Ahad, 11 Disember 2011

kaki langit - 115.


di remang senja ini
berpulangan yang terbang melayang
berlenggang yang mendatang
dan bercucuran kasih di hujung mendung
sedang di kaki langit
mentari masih tega memanah bumi
dengan deraian kemilau rindu
sang arjuna bersimpuh menatap wajah
sita dewi pun terpana
dalam sendu menutup malu
kerna kasihnya terlalu padu
pada Ilahi tempat mengadu.

b.tan.
11.12.2011.
seri buntar.
11.49 pm.


Jumaat, 9 Disember 2011

kaki langit - 114.



ku pamer wajah duka ku

di musim tengkujuh ini

buat menyata hasrat di hati

bahawa alam yang geram

kian panjang esak tangisnya

dan sendu yang menderu

bagai berkata pada ku

usah digundah pada yang resah

tapi tadah lah apa yang tumpah

dalam gelombang di kaki langit

masih ada barokah

dari Ia Maha Pemurah.

B.tan.

08.12.2011.

seri buntar.

12.50am.

kaki langit - 113.


Di pinggiran berdebu ini

tersimpul rindu ku buat mu

yang terpendam di dasar waktu

dalam mamahan usia

masih jua aku mencari

sekelumit rasa kasih

buat bekal aku di jalanan.

Di pinggiran berdebu ini

dalam hiruk pikuk

yang ada hanya sepi

setelah musim bersilih ganti

dan aku terbiar begini.

b.tan.

08.12.2011.

seri buntar.

12.30am.

Rabu, 7 Disember 2011

kaki langit - 112.



gemilang warna mu di senja ini
buat menyambut tetamu ke mari
hilang pudar naiklah seri
moga kekal di esok hari.


b.tan.
07.12.2012.
seri buntar.
05.00am.