Ahad, 16 Disember 2012

kaki langit - 184.




kelam malam dan sepi pun mengamit memori lalu dalam hening pagi tak kala aku mencari destinasi sebuah mimpi agar menjadi satu realiti dalam diri ini.

sebuah perjalanan yang meletihkan, aku kebingungan antara pasti dan ngeri dan menghidu harumnya madu, secangkir rindu tertinggal di sudut nubari.

mengapakah perlu ada keluhan itu setelah segala terserah pasrah dalam mengenal seteguk kasih di alam misteri yang sunyi.

kini aku dan seorang aku meniti hari di jalanan berduri berbekal rindu yang tertahan berbekal kasih yang tak kesampaian.

sekian... wassalam.

b.tan.
16.12.2012.
seri buntar.
10.22am.



* gambar kat sebuah taman  perumahan di segamat.
* dalam mencari idea nak buat /siapkan assignment, terlahirlah sajak dari aku buat seorang aku.




Khamis, 6 Disember 2012

kaki langit - 183.


duduk menunggu hadir rembulan, sedang mentari masih lagi berseri, namun di kaki langit yang sepi, 
aku membuka kembali, album rindu ku, yang terdampar di persisir senja dan menatap satu persatu
wajah kasih yang suci, terpahat padu di sudut kalbu.

b.tan.
06.12.2012.
kemayan.
12.20pm.

Isnin, 5 November 2012

kaki langit - 182.




Hadirmu di kaki langit

Ku nanti setiap detik

Hadirmu di kaki langit
Semangatku meninggi tidak sedikit...

Hadirmu di kaki langit
Harapanku tambah membukit

Hadirmu di kaki langit
Senyum tawaku jadi berjangkit..

Tapi bilamana....

Pergimu dari kaki langit
Nafasku semakin sempit

Pergimu dari kaki langit
Terguris luka yang amat perit..

Pergimu dari kaki langit
Meninggalkan tangis dan juga sakit....



* sajak diatas bukanlah hasil tulisan aku. tetapi hasil nukilan kawan, sahabat, teman juga mungkin.....   
  (peminat kot) ..... heheheh. tak habis-habis dengan perasannya tu.

* memang aku dah lama tak update 'kaki langit' ni. kalau update pun, jarang-jarang pasal aku dah kehabisan stok gambar kerana di'makan' oleh virus dalam pc kat meja kerani.

* sekarang ni aku tengah mengumpul dan memaparkannya setakat mana yang ada dahulu.

* sekian dimaklumkan.

Khamis, 1 November 2012

kaki langit - 181.




di lembayung semalam
tenggelam sebuah rasa
setelah pelangi mengundur diri
dan aku hanya memerhati
pada jejak-jejak tetapak lama
yang tertinggal 
setelah hanya gerimis mengiringi
keberangkatan mu.


b.tan.
01.11.2012.
kemayan.
9.19am.









Isnin, 29 Oktober 2012

kaki langit - 180.



tercalar ilusi
matilah mimpi
dalam misteri
tercari-cari
sekeping hati
yang tersembunyi
setiap sudut dan segi
aku menanti
di laman hari 
di bawah mentari
terbakar diri
aku sudi.


b.tan.
29.10.2012.
seri buntar.
12.45am.



* sungai pahang di kg. guai.
* 28.10.2012 - 04.07pm.

Selasa, 23 Oktober 2012

kaki langit - 179.







pantulan cahaya di permukaan air
umpama pantulan rasa yang bergetar
lalu terbitlah rindu.
tapi....
aku malu kerna aku pernah berlalu
dan ia tertunggu-tunggu...
maafkan aku
kerna kekapihan aku.

b.tan.
23.10.2012.
kemayan.
12.20pm.



* taman awam bera...07.10.2012- 6.07pm.

kaki langit - 178.



sesekali rindu itu datang jua bertamu
mengamit aku di perjalanan
setelah semusim berlalu pergi
hanya ingatan yang kekal abadi.

sesekali rindu itu datang jua bertamu
menemani aku tak kala keseorangan
sedang kembara memburu cita
meski terbakar rasa bergelora.


b.tan.
23.10.2012.
seri buntar.
12.25am.




* pulang dari usim,nilai pada 20.12.2012 - 6.50 ptg.

Rabu, 3 Oktober 2012

kaki langit - 177.



di balik sana ada sinar kecerahan
buat harapan sekalian insan
semoga berkekalan seharian
berpanjangan untuk hari kemudian.

b.tan.
03.10.2012.
kemayan.
1.45pm.



* puisi kontot untuk gambar yang besar.
* dan selepas ini... jika sesuai gambar akan dibesarkan.


Selasa, 2 Oktober 2012

kaki langit - 176.



secebis rindu yang gugur semusim lalu
menghantar aku ke perjalanan sepi
buat mencari penawar luka seribu sendu
yang ku temui cuma
hanyalah jejak-jejak kedamaian
di sudut kaki langit
buat penghapus rindu yang terbuku.


b.tan.
02.10.2012.
kemayan.
11.58am.


kaki langit - 175.



di persimpangan jalanan
ada aku yang tertewas
dalam kewarasan mencari arah
akhirnya kedamaian jua yang jelma
dan mengamit rasa syahdu aku
terhadap mu.


b.tan.
02.10.2012.
kemayan.
11.44am.

Rabu, 19 September 2012

kaki langit - 174.




semakin jauh aku cuba meninggalkan matahari
semakin terasa hangatnya gelora
dan semakin aku cuba melarikan diri
terasa ia kian menghampiri.

akhirnya aku yang datang menyerah
pasrah pada sinarannya
meski aku kan terbakar kepanasan
meski aku kan lebur segala jasad.

matahari
tanpa mu siangkan kegelapan
malamkan berpanjangan
dan aku akan tidor 
dalam lena yang panjang
sambil mengukir mimpi di kaki langit
bahawa kau ada disisi menemani.


b.tan.
18.09.2012
kemayan-seri buntar.
12.02am





Khamis, 13 September 2012

kaki langit - 173.



tak kala mata ku kian layu
dan kaki ku kian kematu
izin kan aku menyusun kata
buat bicara antara kita.

aku kini makin lanjut usia
tenaga hampir tiada
rupa telah lama hilang 
tiada seri untuk ku
menari lagi.

cuma upaya ku berbicara sepi
dalam diam ku menyanyi
sekadar buat hiburan hati
berdendang lagu cinta nan sepi.

di hujung musim kehidupan ku ini
izinkan aku sekali lagi
berada disini menemani
sekeping hati yang tak mahu pergi
dari kaki langit yang kian sepi.


b.tan.
13.09.2012.
kemayan.
9.50am.



Selasa, 14 Ogos 2012

kaki langit - 172.



secebis sinar di lembayung ramadhan
ku harap kan mekar berpanjangan
dalam rimbunan kasih Ilahi
dalam tautan cinta sejati
sebagai bekalan di malam hari
buat mencari redha abadi.

di penghujung nafas yang tersendu
ku harap al-qadar hadir bertamu
setelah rindu terpendam lama
dalam qiam yang tak kunjung padam.


b.tan.
10-14 augustus 2012.
kemayan.
11.15am.


Khamis, 9 Ogos 2012

kaki langit - 171.




ramadhan nan sepi
mengingatkan aku pada kasih Mu Ilahi
dalam aku masih lagi tercari
arah untuk aku berhenti.

ramadhan nan sepi
terdampar rindu di sudut hati
dan seorang aku sekian kali
mendongak ke langit mencari erti
sebuah kehidupan di kaki langit
yang masih berbaki tak berapa detik lagi
entah esok atau lusa
seorang aku berangkat pergi.


b.tan.
08.08.2012.
kemayan.
8.50am.





Rabu, 8 Ogos 2012

kaki langit - 170.




Kau pancarkan sinar Mu
dalam panas terik suria senja
membakar lahar cinta seorang aku
yang masih lagi meniti di jalanan hidup
yang masih lagi mengharap nur Mu untuk ku teguk
dan seorang aku jua yang merindui pada kasih Mu Ilahi.


b.tan.
01.08.2012.
kemayan.
9.54am.

Rabu, 1 Ogos 2012

kaki langit - 169.



pada sinar mentari pagi
ku kirim salam pada kedamaian
pancarkan cinta buat semua
tebarkan sejahtera di bumi melata
usah digusar pada maya 
usah ditanya derita menimpa
redhakan rasa ikhlaskan jiwa
di ramadhan ini kita berdoa
semoga hidup dilimpahi rahmat
oleh Ia Yang Maha Esa.


b.tan.
01.08.2012.
kemayan.
1.32pm.



kaki langit - 168.



ada rindu yang ku pendam
ada sepi yang ku diam
dalam malam yang mendatang
ku bentang mimpi yang indah
semoga lena yang syahdu
kan jadi ingatan yang manis
buat kenangan penghapus tangis.


b.tan.
01.08.2012.
kemayan.
9.22am.




Selasa, 31 Julai 2012

kaki langit - 167.



semalam ku terkenang
pada sebuah wajah
yang hadir bersama rindu
yang hadir dalam pilu.

semalam ku terbayang
pada sebuah wajah
yang pernah ku tinggal
dalam sebuah gelisah.

semalam ku resah
pada sebuah wajah
yang pernah ku rindu
namun kini ingin berlalu.

semalam jua ku terpaksa
terima sebuah hakikat
wajah itu bukan milik ku
dan bukan ku tidak tahu
wajah itu tetap ku rindu
wajah itu kan tetap padu
tersimpan kukuh
 di danau kalbu ku
terpahat rindu
di kaki langit Mu.


b.tan.
31.07.2012.
kemayan.
8.20am.

Jumaat, 27 Julai 2012

kaki langit - 166.




di kaki langit
ku renung mentari pagi
dalam ingatan terhadap Mu.

di kaki langit
ada aku yang malu
pada sejarah kelam ku.

di kaki langit 
masih aku merenung sendirian
ramadhan ini 
ada hati yang terguris lagi.


b.tan.
27.07.2012.
kemayan.
11.11am.




Sabtu, 21 Julai 2012

kaki langit - 165.





dalam ramadhan yang telah tiba
kita sambut dengan rasa redha
biar pun rasa mungkin lapar
tapi insyaAllah 
kita akan kenyang dengan pahala
dan bukan dosa yang sengaja
atau tidak sengaja.

ramadhan adalah
titian kita menuju
cinta Ilahi.


b.tan.
21.07.2012.
seri buntar.
6.44pm.




kaki langit - 164.





di kaki langit Mu
ku tatap wajah temerloh
yang damai dalam dakapan
tersimpan seribu kenangan
buat aku seorang insan
dalam mengenal sebuah kehidupan.

di dada mu
telah ku jelajah setiap arah
lorong-lorong mu mendewasakan aku
yang mentah dalam resah.

di aspal mu
telah ku hidu pelbagai bau
namun aku tak pernah jemu
pada aroma yang menusuk kalbu.

temerloh
ini lah secebis wajah mu yang kian bengis
dalam esak dan raungan tangis
kau terus dipacu oleh para kapitalis
yang makin terhakis daya nasionalis.

bahaman
kuala mu berubah wajah
di kamarnya ada remaja yang leka
tenggelam dalam rasa yang bergelora
hanyut dalam nafsu yang menggila.

namun 
seorang aku masih terus berharap
agar wajah mu tak terus berubah
semoga suatu waktu aku tetap kenali mu
dalam arus yang makin deras
tetap aku tidak tersesat
di dada mu jua di aspal yang gombal
masih aku kenali harum bau hanyir mu yang hamis.

temerloh
lena lah mu dalam dakapan
damai dalam kemajuan
dipacu mara menuju impian
lestari buat sebuah warisan.


b.tan.
18.07.2012.
seri buntar.
4.51am.

Khamis, 19 Julai 2012

kaki langit - 163.






sekadar tatapan untuk kenangan
inilah gambaran wajah pengharapan
sebuah perjuangan untuk masa hadapan.

b.tan.
19.07.2012.
seri buntar.
4.05am.


Sabtu, 14 Julai 2012

kaki langit - 162.



aku masih lagi setia menanti
meski aku sendiri lagi
dalam menemani diri sendiri.

tiada teman tiada rakan
yang ku dengar hanyalah sorakan
terkadang hingar membingitkan
terkadang aku seperti disorakkan.

hadirlah kau hadirlah teman
lapangan ini sedia menanti
siapa nan sudi silalah ke mari
kita bersama terus berlari
memburu pelangi di sudut hati.


b.tan.
14.7.2012.
seri buntar.
1.58am.

Khamis, 12 Julai 2012

kaki langit - 161.





*percubaan.... aku cuba belajar memasukkan video ke dalam blog.... akhirnya jadi cam ni.... tak tau betul ke salah dia punya cara...pakai hentam saja... janji ada video...

b.tan.
1.10am.
khamis yang sepi.

kaki langit - 160.



Kau nyalakan pelita hati

Tapi sayang ditengah hari
Aku sendiri bukan tak peduli
Betapa halusnya cinta
Hingga kita bisa tersinggung
Walau dengan setitis dusta.

Terbakar hari panas mentari
Panas lagi cinta ini
Haruskah kita terus begini
Dalam mencari erti cinta
Hingga kita bisa tersinggung
Walau dengan setitis dusta.




Diam bukan bererti
Aku tidak peduli
Dan bukan cumbu rayu
Yang membuat kita rindu.

Lumrahnya cinta
Sedang kita alami cinta sepi

Dekat ku rasa jauh ku rasa
Sekuat mana getaran cinta kita.


Lirik Cinta Sepi - Search.




* sejak dua menjak ni main lirik lagu je pulak.......
bukan apa... bak kata m. nasir.... manakah ilham ku...,  bak kata aku pulak.... idea not coming....

* gambar dirakam pada 26.5.2012- sabtu, jam 7.07 pagi, ketika aku lewat hadir kuliah kat usim. pemandangan di kawasan felda lui muda sebelum simpang ke gugusan felda tembangau.


Selasa, 10 Julai 2012

kaki langit - 159.





lihatlah awan mendung nan kelabu
berarak pilu arah tak tentu
membawa sekeping hati
yang terdampar di pantai
di lambung ombak rindu
kelemasan di lubuk asmara.

aku pun begitu
masih jua bak awan yang terpilu
terkadang ingin ku rayu
namun aku tak mampu
membuka bicara membisik pesona
pada jejak-jejak kedamaian
yang pernah ku lalui dulu-dulu
cuma aku hanya mampu
memendam rasa seribu bahasa
agar cinta ini terus mekar bergelora
di suatu sudut di kaki langit.


b.tan.
10.07.2012.
seri buntar.
12.07am.

Isnin, 9 Julai 2012

kaki langit - 158.



aku menghitung hari yang berlalu tanpa mu 
aku jemu dan cemburu ku rasa lesu
terasa waktu begitu lambat ku terus menunggu
mengharap butir-butir aksara dari bibir mesra
meski ku cuba melupa tapi aku tak upaya
nama itu wajah itu bisikan itu masih di situ
tak mungkin ku lupa buat menghapus rindu
akhirnya hanya mampu aku melafaz kata
aku masih lagi seperti dulu sering merindu mu.


b.tan.
09.07.2012.
seri buntar.
11.25pm.

Jumaat, 6 Julai 2012

kaki langit - 157.




Bagaimanakan ku mula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan
Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku.

Cahaya di matamu
Senyum di bibirmu
mengukir seribu tanda pertanyaan
Mungkinkah kau jua dalam kerinduan
Di saat begini aku merindukan.

Berhelai-helai surat
Terbiar di depanku
Tak dapat aku utuskan
Ku ramas semua
Dan ku buangkan
Jauh dari pandangan

Lalu aku kesal
Ku kumpul semula
Tak dapat ku nyatakan apa yang ku rasa
Jika engkau tahu di dalam hatiku
Mungkinkah kau sahut jeritan batinku.

Dengarkanlah panggilanku
Dengarkanlah lagu untukmu
Angin lalu kau sampaikan
Rasa rindu yang membara
Kepadanya.

Warna-warna cintaku
Kian pudar bersama
Malam yang gelap gelita
Entahkan kau rasakan
Apa yang aku rasa
Atau kau tak endah.


Tapi ku percaya
Semua telah tertulis
Dan niat suciku 
takkan disiakan
Dan di suatu masa
Di hari yang indah
Ku hulur tanganku
Lalu kau terima.



*hanya sekadar lagu buat melepas rindu...
- suatu masa - m.nasir.

Khamis, 5 Julai 2012

kaki langit - 156.




berterbangan puing rindu
dalam mencari destinasi kasih
meski jauh perjalanan hati
namun bertakhta di dasar nubari.

biarlah puing itu terus berterbangan
ku rela ia begitu
kerana ingatan aku tetap kukuh 
pada seraut wajah sepi
yang pernah menghiasi hidup ini.


pada rindu yang terkadang begitu menderu
ku sambut ia setulus hati
teman bicara di kala begini
di kala aku tak lena lagi.


rindu dan kasih
pilu nan merintih
biar pedih biar sedih
ku tanggung jua
kasih mu kekasih
di kaki langit
ku renung potret.


b.tan.
05.07.2012.
bilik 111,
asrama btpn terengganu,
marang.
2.50am.

Isnin, 2 Julai 2012

kaki langit - 155.



di dataran mu
ada insan bergelandangan
mencari nikmat hidup
buat bekalan hari muka
meski sekadar
menghirup udara
dalam sesak nafas
menanggung gelora
yang tiba-tiba menggila
setelah seorang aku
gagal dalam perlumbaan maya
kerana aku hanya serangga
yang termanggu dalam rona di kaki langit.


b.tan.
02.07.2012.
12.30pm.

Khamis, 21 Jun 2012

kaki langit - 154.



hidup ini adalah perjalanan
yang sering kita lalui
dalam sepanjang kembara
memburu masa.

hidup ini hanya seketika
yang sering kita alpa
dalam setiap masa
menghitung gelora.

hidup ini adalah sejarah
dalam membentuk  hidup terarah
hidup ini adalah pasrah
pada Allah kita berserah
namun jangan menyerah kalah
sebelum kita rasa bersalah.


b.tan.
21.06.2012.
central curry house,nilai.
12.55pm.



Rabu, 20 Jun 2012

kaki langit - 153.




dalam dakapan senja
masih lagi insan kekalutan
mencari selembar harapan 
bersama secebis impian
buat satu kehidupan
dalam satu suapan
di kaki langit
tersadai jangan.


b.tan.
20.06.2012.
seri buntar.
11.07pm.

Khamis, 14 Jun 2012

kaki langit - 152.




aku berhenti di tepian jalanan
untuk menatap nur alam
yang bakal tenggelam bersama malam
meninggalkan aku yang masih termanggu
mencari siang yang aku tinggalkan.

di puncak sana di kaki langit
ku lihat sinar senja yang rawan
menyendiri dan sepi
ingin saja ku temani
namun siang masih tetap ku cari
buat menemukan ia yang ku nanti.

di jalanan ini di puncak sana
sinar senja makin pudar
namun aku tetap berharap
ia bersinar lagi esok hari
bersama ia yang kembali.


b.tan.
12-14.06.2012.
seri buntar-nilai.
12.37pm.

Selasa, 12 Jun 2012

kaki langit - 151.



di bawah lembayung Mu
bertebaran insan mencari kasihan
dalam kesempatan yang mendatang
memungkinkah bahagia jadi dambaan
di perhentian sujud
tunduk tafakur meluruh dosa
dan di persimpangan dilema
masih bertelagah antara nafsu dan akal
sedang  dalam diri masih ada duri
menusuk iman yang cuma sejengkal.

Kasih
nur kudus Mu
di mana masih ku tercari
dalam terjaga ku bermimpi
sebuah rindu dari Mu
terpahat di hati.


b.tan.
12.06.2012.
seri buntar.
12.35am.

Isnin, 11 Jun 2012

kaki langit - 150.




masih terlalu jauh perjalanan ini
sedang bekalan ku
makin menipis
buat mencari secebis bahagia
dalam mengharung hidup
yang berliku.

masih terlalu jauh perjalanan ini
sedang aku sering terlena
di hentian waktu yang cemburu
buat aku sering resah
bimbang rebah di kaki langit Mu.


b.tan.
11.06.2012.
seri buntar.
12.05.

Ahad, 10 Jun 2012

kaki langit - 149.



basah dada mu
disirami airmata alam
dan sendu yang berlagu
hanyut bersama aspal yang dingin
tenggelam dalam rintik-rintik
noda yang kelam
lalu segumpal rindu
dibungkus sepi di sudut hati
seorang aku 
yang lelah dalam perjalanan
mencari nur di kaki langit Mu.


b.tan.
10.06.2012.
seri buntar.
11.40am.