Memaparkan catatan dengan label cinta Ilahi.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cinta Ilahi.. Papar semua catatan

Selasa, 5 April 2016

kaki langit - 299.


saat kalbu ku berlagu
yang terdengar 
hanyalah nyanyian pilu
dari lubuk hati
jauh di sanubari.

aku tak bisa berbohong
berkata itu dan ini
tapi hati tetap pasti
kau sering diingati.

berprasangka lah
semahu mu
dan berkata lah
apa mahu mu
aku bisa kembali
atau terus 
saja pergi.

tabahkan hati mu
setabah aku yang berlalu
meski kita berbeza
pada fizikal jua seksual
namun kita tetap satu
saling merindu
cinta Satu.


b.tan.
mengkuang.
5.4.2016.
1.50pm.



Rabu, 21 Oktober 2015

kaki langit - 298.


  
 betapa aku telah meluka kan mu
dengan hirisan sembilu cinta
aku membiar kau menunggu
dan berpura tidak tahu.

kemaruk lah rindu berlagu
tak kala sepi begini menghuni
aku berpaling wajah ke tepi
dan kau di sana mungkin ternanti.

aku telah berkali menafi
saat bicara kita berapi
aku tetap mengingati mu
hingga aku mati.

aku masih lagi tercari
di mana alasan aku
untuk ku luah pada mu
kenapa aku menyepi begini.

ternyata aku tiada berhati
entah kenapa aku tidak pasti
tapi di sanubari telah terpatri
aku tetap mencintai mu
hingga aku mati.

b.tan.
21.10.2015.
mengkuang.
1.53pm.


* puisi pertama aku di mengkuang...
* catatan rasmi pertama aku di tahun 2015...
* yang pertama juga dalam semua blog aku...
* harap dimengertikan wahai sahabat...
* bukan aku melupakan mu...
* tapi hati tidak ingin berdusta lagi...
* sekian untuk kali ini...

Jumaat, 3 Oktober 2014

kaki langit - 290.



























seiras selaut kasihnya tumpah,
tiada apa lagi yang dapat diharap
hanyalah menadah memohon restu
 dari Mu Ilahi
agar sentosa damai sejahtera
hidup di laman saujana abadi.

b.tan.
14.08.2014.
kemayan.

* catatan lama yang aku buat 
  ketika mesyuarat exco kat bilik gerakan.
* jadi gambar pun yang lama jugak lah...

Rabu, 1 Oktober 2014

kaki langit - 289.



alam seakan berdendang
dan menyanyi lagu riang
tak kala purnama meleret kuntuman
pada mentari senja
dan berangkatlah pulang sang camar 
ke puncak rindu di hujung mimpinya
setelah puas mencari bayangnya 
yang tertinggal semusim lalu
dipanah gelora nestapa cinta.

b.tan.
01.10.2014.
kemayan.
08.22am.

* gambar tahun 2012 di kampung batu satu,
   temerloh di hadapan masjid ubudiah.


Isnin, 22 September 2014

kaki langit - 287.



di jalanan aspal ini terbentang mata dunia
meninjau dan menikam belakang sukma
tertusuk belati berdarah lah hari
dan kelkatu terbang tinggi
mencari enggang yang enggan pulang
beradu di pelupuk mata bonda.

tersingkap sukma mengalir lirih
sebuah jasa di pasung keliru
kau yang kelam tak kunjung padam
aku yang bungkam di penghujung malam
melempar nestapa pada rindu pekaka
lahirlah cinta di hujung dunia
memintal hati di usus naluri.

b.tan.
22.09.2014.
kemayan.
12.41pm.


* agak lama aku tak berbisik di sini...
* akhirnya terbisik jua hari ini...
* hahaha...




Selasa, 11 Jun 2013

kaki langit - 204.



jalanan ini masih lagi sepi
dalam aku menanti seraut wajah
di penghujung yang masih lagi berliku
penuh onak dan ranjau berduri.

teman...
ku nanti mu di persimpangan jalanan ini
untuk bersama menuju hari muka
buat menggapai kejayaan kita
menuju hidup yang lebih bermakna.

teman...
izinkan ku simpan seraut wajahmu
meski sekadar sebuah bayangan silam
sebelum aku terlena sendu
buntu dalam mengejar waktu.


b.tan.
11.06.2013.
kemayan.
8.20am.



* di kala senja ku ternanti...

Rabu, 19 September 2012

kaki langit - 174.




semakin jauh aku cuba meninggalkan matahari
semakin terasa hangatnya gelora
dan semakin aku cuba melarikan diri
terasa ia kian menghampiri.

akhirnya aku yang datang menyerah
pasrah pada sinarannya
meski aku kan terbakar kepanasan
meski aku kan lebur segala jasad.

matahari
tanpa mu siangkan kegelapan
malamkan berpanjangan
dan aku akan tidor 
dalam lena yang panjang
sambil mengukir mimpi di kaki langit
bahawa kau ada disisi menemani.


b.tan.
18.09.2012
kemayan-seri buntar.
12.02am





Sabtu, 14 Julai 2012

kaki langit - 162.



aku masih lagi setia menanti
meski aku sendiri lagi
dalam menemani diri sendiri.

tiada teman tiada rakan
yang ku dengar hanyalah sorakan
terkadang hingar membingitkan
terkadang aku seperti disorakkan.

hadirlah kau hadirlah teman
lapangan ini sedia menanti
siapa nan sudi silalah ke mari
kita bersama terus berlari
memburu pelangi di sudut hati.


b.tan.
14.7.2012.
seri buntar.
1.58am.

Khamis, 21 Jun 2012

kaki langit - 154.



hidup ini adalah perjalanan
yang sering kita lalui
dalam sepanjang kembara
memburu masa.

hidup ini hanya seketika
yang sering kita alpa
dalam setiap masa
menghitung gelora.

hidup ini adalah sejarah
dalam membentuk  hidup terarah
hidup ini adalah pasrah
pada Allah kita berserah
namun jangan menyerah kalah
sebelum kita rasa bersalah.


b.tan.
21.06.2012.
central curry house,nilai.
12.55pm.



Selasa, 12 Jun 2012

kaki langit - 151.



di bawah lembayung Mu
bertebaran insan mencari kasihan
dalam kesempatan yang mendatang
memungkinkah bahagia jadi dambaan
di perhentian sujud
tunduk tafakur meluruh dosa
dan di persimpangan dilema
masih bertelagah antara nafsu dan akal
sedang  dalam diri masih ada duri
menusuk iman yang cuma sejengkal.

Kasih
nur kudus Mu
di mana masih ku tercari
dalam terjaga ku bermimpi
sebuah rindu dari Mu
terpahat di hati.


b.tan.
12.06.2012.
seri buntar.
12.35am.

Isnin, 11 Jun 2012

kaki langit - 150.




masih terlalu jauh perjalanan ini
sedang bekalan ku
makin menipis
buat mencari secebis bahagia
dalam mengharung hidup
yang berliku.

masih terlalu jauh perjalanan ini
sedang aku sering terlena
di hentian waktu yang cemburu
buat aku sering resah
bimbang rebah di kaki langit Mu.


b.tan.
11.06.2012.
seri buntar.
12.05.

Ahad, 10 Jun 2012

kaki langit - 149.



basah dada mu
disirami airmata alam
dan sendu yang berlagu
hanyut bersama aspal yang dingin
tenggelam dalam rintik-rintik
noda yang kelam
lalu segumpal rindu
dibungkus sepi di sudut hati
seorang aku 
yang lelah dalam perjalanan
mencari nur di kaki langit Mu.


b.tan.
10.06.2012.
seri buntar.
11.40am.

Rabu, 6 Jun 2012

kaki langit - 148.





kapan kah lagi
mutiara jernih berguguran 
dari dada mu
dan membasahi kaki mu
yang telah lama kekeringan
kontang dalam kepasrahan
gersang dalam kerinduan
menanti lunak bicara dari bibir mu
menunggu hadir senyum sebuah misteri
dan bukan api
yang merah membakar
seluruh gedung percintaan ku
dan aku kembali penasaran
di hujung kaki langit Mu.


b.tan.
06.06.2012.
seri buntar.
1.13am.

kaki langit - 147.


di jalanan ini
ada kalanya aku terfikir
sampai bila aku harus begini
sering saja terpesona
pada garis-garis warna alam
meski ku tahu
ia juga ciptaan Tuhan.


b.tan.
6.6.2012.
seri buntar.

Sabtu, 2 Jun 2012

kaki langit - 146.




aku sering saja terpana
dengan lenggok rona di kaki langit
sering juga aku terpesona 
dengan tona yang bersinar.

aku akan sering terpana lagi
dan akan terpesona lagi
dalam kelembutan tarian warna
lukisan alam Mu di kaki langit
dan aku pun mengucap syukur 
tanda aku seorang hamba.


b.tan.
2.6.2012.
seri buntar.
4.25am.

Ahad, 11 Disember 2011

kaki langit - 115.


di remang senja ini
berpulangan yang terbang melayang
berlenggang yang mendatang
dan bercucuran kasih di hujung mendung
sedang di kaki langit
mentari masih tega memanah bumi
dengan deraian kemilau rindu
sang arjuna bersimpuh menatap wajah
sita dewi pun terpana
dalam sendu menutup malu
kerna kasihnya terlalu padu
pada Ilahi tempat mengadu.

b.tan.
11.12.2011.
seri buntar.
11.49 pm.


Selasa, 16 Ogos 2011

kaki langit - 96.



pada puing rindu yang terbuku
ada cinta manis bak madu
dan untuk kekasih ku
sebuah lagu zikir
ku alun di malam syahdu.

Tuhan,
lagu zikir ini untuk Mu
lagu dari hati nan sayu
jika di musim yang lalu
rahmat-Mu gagal ku gapai
insyaAllah,
di ramadan yang barokah ini
kan ku rangkul nur-Mu
ku kalungkan di jiwa ku
dan pasrah dalam sujud
penuh tafakur.


b.tan.
22 ramadhan 1432
22 ogos 2011
seri buntar.
12.59am.