Rabu, 19 September 2012

kaki langit - 174.




semakin jauh aku cuba meninggalkan matahari
semakin terasa hangatnya gelora
dan semakin aku cuba melarikan diri
terasa ia kian menghampiri.

akhirnya aku yang datang menyerah
pasrah pada sinarannya
meski aku kan terbakar kepanasan
meski aku kan lebur segala jasad.

matahari
tanpa mu siangkan kegelapan
malamkan berpanjangan
dan aku akan tidor 
dalam lena yang panjang
sambil mengukir mimpi di kaki langit
bahawa kau ada disisi menemani.


b.tan.
18.09.2012
kemayan-seri buntar.
12.02am





Khamis, 13 September 2012

kaki langit - 173.



tak kala mata ku kian layu
dan kaki ku kian kematu
izin kan aku menyusun kata
buat bicara antara kita.

aku kini makin lanjut usia
tenaga hampir tiada
rupa telah lama hilang 
tiada seri untuk ku
menari lagi.

cuma upaya ku berbicara sepi
dalam diam ku menyanyi
sekadar buat hiburan hati
berdendang lagu cinta nan sepi.

di hujung musim kehidupan ku ini
izinkan aku sekali lagi
berada disini menemani
sekeping hati yang tak mahu pergi
dari kaki langit yang kian sepi.


b.tan.
13.09.2012.
kemayan.
9.50am.



Selasa, 14 Ogos 2012

kaki langit - 172.



secebis sinar di lembayung ramadhan
ku harap kan mekar berpanjangan
dalam rimbunan kasih Ilahi
dalam tautan cinta sejati
sebagai bekalan di malam hari
buat mencari redha abadi.

di penghujung nafas yang tersendu
ku harap al-qadar hadir bertamu
setelah rindu terpendam lama
dalam qiam yang tak kunjung padam.


b.tan.
10-14 augustus 2012.
kemayan.
11.15am.


Khamis, 9 Ogos 2012

kaki langit - 171.




ramadhan nan sepi
mengingatkan aku pada kasih Mu Ilahi
dalam aku masih lagi tercari
arah untuk aku berhenti.

ramadhan nan sepi
terdampar rindu di sudut hati
dan seorang aku sekian kali
mendongak ke langit mencari erti
sebuah kehidupan di kaki langit
yang masih berbaki tak berapa detik lagi
entah esok atau lusa
seorang aku berangkat pergi.


b.tan.
08.08.2012.
kemayan.
8.50am.





Rabu, 8 Ogos 2012

kaki langit - 170.




Kau pancarkan sinar Mu
dalam panas terik suria senja
membakar lahar cinta seorang aku
yang masih lagi meniti di jalanan hidup
yang masih lagi mengharap nur Mu untuk ku teguk
dan seorang aku jua yang merindui pada kasih Mu Ilahi.


b.tan.
01.08.2012.
kemayan.
9.54am.

Rabu, 1 Ogos 2012

kaki langit - 169.



pada sinar mentari pagi
ku kirim salam pada kedamaian
pancarkan cinta buat semua
tebarkan sejahtera di bumi melata
usah digusar pada maya 
usah ditanya derita menimpa
redhakan rasa ikhlaskan jiwa
di ramadhan ini kita berdoa
semoga hidup dilimpahi rahmat
oleh Ia Yang Maha Esa.


b.tan.
01.08.2012.
kemayan.
1.32pm.



kaki langit - 168.



ada rindu yang ku pendam
ada sepi yang ku diam
dalam malam yang mendatang
ku bentang mimpi yang indah
semoga lena yang syahdu
kan jadi ingatan yang manis
buat kenangan penghapus tangis.


b.tan.
01.08.2012.
kemayan.
9.22am.