Selasa, 23 Ogos 2011

kaki langit - 100.



dalam remang senja ini
aku melihat sinar pengharapan
dalam hujan yang mencurah
terkandung cinta al-Khalik
meski sang hamba terleka dalam pura
masih lagi berbangga dengan dosa
yang terpahat dalam nanah
dan membusuk dalam jiwa.

sudilah kiranya, ya Tuhan
terus Kau sirami bumi ini
biar basah hati mereka
dengan nur titisan Mu.


b.tan.
15-18.09.2o11
kemayan-hoshas,temerloh
1.00am.



kaki langit - 99.




di sebalik mendung kelabu
ada sekelumit mimpi indah
mengintai dari jendela alam
memerhati pada diri
tentang hakikat bahawa
kehidupan ini
masih lagi bergelora
antara realiti dan fantasi
antara sejarah berdarah
dan noda dosa ummah
kita tenggelam dalam arus
isu yang dipolitik dan dipolemikkan.


b.tan.
14.09.2011
kemayan.
9.46am


kaki langit - 98.




di manakah lagi arah
untuk kita mujahadah
dalam mencari sinar mawaddah
agar sentiasa dalam sa'adah.

usahlah gundah
mau pun melatah
walau kerenah mendatang resah.

pandanglah mudah
meski pun susah
kerna hidup tak selalu indah.

bukalah wajah
dengan rasa cerah
insyaAllah
pasti kita kan selalu mewah.

ingatlah
hidup ini berubah-ubah
jangan kita terus rebah
perlu sentiasa mujahadah
agar sentiasa dalam sa'adah
hidup ini dalam sa'adah
mati jua dalam sa'adah
di alam barzakh
kekal sa'adah.


b.tan.
24.08.2011.
kemayan.
9.47am.


Isnin, 22 Ogos 2011

kaki langit - 97.



di saat cinta dan rindu bersatu
alam seakan bisu dan kaku
hanya sebuah pengharapan
dari ku
terimalah taubat ku
ampunilah dosa ku
sejahterakanlah hidup ku
kuatkanlah iman ku
makbulkanlah doa ku
bersihkanlah hati ku
tambahkanlah amalan ku
cukupkan dan
halalkanlah rezeki ku
permudahkanlah urusan dunia ku
semoga dengannya
urusan akhirat ku menjadi senang
perkenankanlah permohonan hamba Mu ini
oh! Yang Maha Kaya...Yang Maha Pemurah...lagi Maha Pengasih...
hanya pada Mu ku berserah diri
amin...amin...amin...
Ya Robbal 'Alamin.


b.tan.
22.08.2011.
kemayan.
10.22am.



Selasa, 16 Ogos 2011

kaki langit - 96.



pada puing rindu yang terbuku
ada cinta manis bak madu
dan untuk kekasih ku
sebuah lagu zikir
ku alun di malam syahdu.

Tuhan,
lagu zikir ini untuk Mu
lagu dari hati nan sayu
jika di musim yang lalu
rahmat-Mu gagal ku gapai
insyaAllah,
di ramadan yang barokah ini
kan ku rangkul nur-Mu
ku kalungkan di jiwa ku
dan pasrah dalam sujud
penuh tafakur.


b.tan.
22 ramadhan 1432
22 ogos 2011
seri buntar.
12.59am.

Isnin, 15 Ogos 2011

kaki langit - 95.





menghitung rindu

membilang bilah-bilah hari yang berlalu di kaki mu
bagai menghitung butir-butir rindu yang gugur
dalam aku masih lagi mencari helai-helai bayangan mu
buat menghapus sepi kamar ini
dan ku simpul rapi di hati
bagai setangi yang mewangi.

di hari-hari rindu ku berguguran
di manakah wajah mu
hadir bagai puteri
dan aku tak lagi kelemasan.


b.tan.
19.05.2011.
bera.
10.45am.

Rabu, 10 Ogos 2011

kaki langit - 94.


dan malam yang dingin pun membalut sepi di kamar ini,
sedang suara alam makin mendayu menangisi nasib diri
entah kapankah lagi hiba ini kan terhapus
setelah kau pergi dari kaki langit ini.

b.tan.
14.08.2011.
seri buntar.
11.50pm.

kaki langit - 93.





kelkatu itu terbang lagi
mengejar bayang-bayangnya
dan terpinar dek kemilau sang suria
berderailah airmata sendunya
kenapa wajah itu tiba-tiba menghilang
dan berganti senja yang suram.

berguguran sayap rindunya
dan melata ia mencari arah
berbekalkan seraut wajah
yang hilang di senja suram.

manusia itu umpama kelkatu
amat ponggah
dalam mengejar nafsu duniawi
walau payah walau rebah
tetap ia meninggi diri
dan tersungkur di kaki langit
sambil meratib
nada-nada seribu penyesalan.

b.tan.
april 2011.
bera.



Isnin, 8 Ogos 2011

kaki langit - 92.



di tepian danau
di kaki mu ini
menanti hadir sebuah irama
tersimpul daku dalam rindu
dan menungan yang panjang ini
makin larut dalam bayangan
seraut wajah yang pernah terjelma
kini di mana entah berada.


b.tan.
03.08.2011.
kemayan.
11.10am.


Rabu, 3 Ogos 2011

kaki langit - 91.




perjalanan ini.

dalam perjalanan menuju puncak
sering kali aku tersandong di kaki mu
dan menunda pendakian aku
namun...
perjalanan ini pastikan berakhir jua
tak kala aku dijemput pergi
menghadap Ilahi Robbi.
dalam perjalanan ini
usah kita lupa atau sangsi
pada Ia Yang Maha Mengetahui.


b.tan.
april 2011.
bera.



kaki langit - 90.




suara gema kalimah toyyibah
mengalun dalam siponggang
dan bertaburan permata-Nya
di laman-laman hati setiap insan.
sayang...
suara itu hanya
memecah sunyi memecah sepi
dan seorang aku masih lagi lahap
di hadapan juadah
tanpa menghirau
pada sejadah yang telah kusam
dan menanti untuk aku sujud.
di kaki langit
seorang aku hampir tersepit
antara cinta dunia dan cinta Khaliq.


b.tan.
05.08.2011.
kemayan-seri buntar.

kaki langit - 89.




masih adakah
ruang kesempatan
untuk kita tiba di sempadan
buat membeza
mana kaca mana intan
sedangkan kita
masih tersesat di jalanan
dan meracau
pada sesaknya kehidupan
sedang di kaki langit
sering kita lupa pada tuhan.


b.tan
03.08.2011.
kemayan.

Isnin, 1 Ogos 2011

kaki langit - 88.


resahlah kalbu di jalanan buntu
dalam mencari harum ramadhan
di sebalik helaian
hari-hari yang bakal mendatang
sedang bekal yang ku galas
hanyalah harapan
pada ketentuan Mu jua.


b.tan.
02.08.2011.
kemayan.